Hukum Najis & Perut Ikan
(Termasuk Ikan Bilis)
Soalan
Assalamuaikum Ustaz,
Baru-baru ini saya menerima satu artikel dari forumer menyatakan bahawa haram memakan ikan yang direbus/digoreng yang tidak disiang (dibuang isi perutnya). Dengan jelas sekali dalam artikel tersebut, saudara tersebut menyatakan hukum itu tergunapakai untuk ikan bilis sekali.
Ini amat baru bagi saya. Dan sememangnya saya jahil tentang ini. Sebelum saya menwar-warkan kepada rakan-rakan yang lain, saya ingin kepastian tentang hukum.
Mungkin ini di luar bidang kuasa ustaz, tetapi saya amat hargai sekiranya ustaz dapat mencari sumber-sumber dari jemaah lain yang boleh membantu menyelesaikan permasalahan ini.
Saya kira, ramai di forum zaharuddin.net ini berminat untuk mengetahui kerana rata-rata, nasi lemak yang kita makan menggunakan ikan bilis yang tidak dibuang perutnya
BabyMerc 5727
Jawapan
Wa'alaikumussalam,
Dari banyak-banyak isu dalam dunia ni yang besar-besar, isu begini juga yang menjadi kegemaran umat Islam hari ini. Wallahu ‘alam. Pada mulanya saya tidak berminat menjawab, tetapi kerana ramai pula yang menjadi keliru kerana pelbagai ‘fatwa' dibuat oleh orang awam. Maka saya luangkan beberapa minit menjawabnya.
Islam berada di antara suatu faham kebebasan soal makanan dan extrimis dalam soal larangan. Oleh karena itu Islam kemudian mengumandangkan kepada segenap umat manusia dengan mengatakan:
"Hai manusia! Makanlah dari apa-apa yang ada di bumi ini yang halal dan baik, dan jangan kamu mengikuti jejak syaitan karena sesungguhnya syaitan itu musuh yang terang-terangan bagi kamu." (al-Baqarah: 168)
Selanjutnya mengumandangkan seruannya kepada orang-orang mu'min secara khusus.
Firman Allah:
"Hai orang-orang yang beriman! Makanlah yang baik-baik dari apa-apa yang telah Kami berikan kepadamu, serta bersyukurlah kepada Allah kalau betul-betul kamu berbakti kepadaNya. Allah hanya mengharamkan kepadamu bangkai, darah, daging babi dan binatang yang disembelih bukan karena Allah. Maka barangsiapa dalam keadaan terpaksa dengan tidak sengaja dan tidak melewati batas, maka tidaklah berdosa baginya, karena sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Belas-kasih." (al-Baqarah: 172-173)
Point : Perut ikan tak termasuk dalam bab bangkai yang diharamkan dan jikalau ia mempunyai najis, ia adalah terhasil dari makanan ikan yang juga harus, justeru ia adalah harus di makan (bagi sesiapa yang nak makan le).
Makanan kedua yang diharamkan ialah darah yang mengalir. Ibnu Abbas pernah ditanya tentang limpa (thihal), maka jawab beliau: Makanlah! Orang-orang kemudian berkata: Itu kan darah. Maka jawab Ibnu Abbas: Darah yang diharamkan atas kamu hanyalah darah yang mengalir.
Maka perut ikan dan najisnya juga tak termasuk dalam bab ini.
Rasulullah s.a.w. ketika ditanya tentang masalah air laut, baginda menjawab:
"Laut itu airnya suci dan bangkainya halal." (Riwayat Ahmad dan ahli sunnah)
Dan firman Allah yang mengatakan:
"Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut dan makanannya." (al-Maidah. 96)
Umar r.a berkata: Yang dimaksud shaiduhu, iaitu semua binatang yang diburu; sedang yang dimaksud tha'amuhu (makanannya) , iaitu barang yang dicarinya.
Dan kata Ibnu Abbas pula, bahawa yang dimaksud ‘thaamuhu', iaitu bangkainya.
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dari Jabir bin Abdullah diceriterakan, bahwa Rasulullah s.a.w. pernah mengirimkan suatu angkatan, kemudian mereka itu mendapatkan seekor ikan besar yang sudah menjadi bangkai. lkan itu kemudian dimakannya selama 20 hari lebih. Setelah mereka tiba di Madinah, diceriterakanlah hal tersebut kepada Nabi, maka jawab Nabi:
"Makanlah rezeki yang telah Allah keluarkan untuk kamu itu, berilah aku kalau kamu ada sisa. Lantas salah seorang diantara mereka ada yang memberinya sedikit. Kemudian Nabi memakannya." (Riwayat Bukhari)
Tiada pun diarahkan oleh Nabi untuk membuang perut atau najis ikan itu terlebih dahulu.
Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi Menyebut (Al-Halal wal Haram Fil Islam) :
Binatang laut iaitu semua binatang yang hidupnya di dalam air.
Binatang ini semua halal, didapat dalam keadaan bagaimanapun, apakah waktu diambilnya itu masih dalam keadaan hidup ataupun sudah bangkai, terapung atau tidak. Binatang-binatang tersebut berupa ikan ataupun yang lain, seperti: anjing laut, babi laut dan sebagainya.
Bagi yang mengambilnya tidak lagi perlu diperbincangkan, apakah dia seorang muslim ataupun orang kafir. Dalam hal ini Allah memberikan keleluasaan kepada hamba-hambaNya dengan memberikan perkenan (mubah) untuk makan semua binatang laut, tidak ada satupun yang diharamkan dan tidak ada satupun persyaratan untuk menyembelihnya seperti yang berlaku pada binatang lainnya. Bahkan Allah menyerahkan bulat-bulat kepada manusia untuk mengambil dan menjadikannya sebagai modal kekayaan menurut keperluannya dengan usaha semaksima mungkin untuk tidak menyiksanya.
Firman Allah:
"Dialah Zat yang memudahkan laut supaya kamu makan daripadanya daging yang lembut." (an-Nahl: 14)
"Dihalalkan buat kamu binatang buronan laut dan makanannya sebagai perbekalan buat kamu dan untuk orang-orang yang belayar." (al-Maidah: 96)
KESIMPULAN :
DARI SUDUT HUKUM, PERUT IKAN MALAH NAJISNYA ADALAH PERKARA YANG DIDIAMKAN HUKUMNYA OLEH ALLAH DAN RASULNYA, Natijahnya, hukumnya akan mengikuti hukum dagingnya sebagaimana dalil di atas, iaitu harus untuk dimakan bersekali dengan dagingnya.
Bagaimanapun, jika adat dan sains mendapati ianya tidak baik untuk kesihatan manakala adat mendapatinya sebagai kotor dan kurang elok. Maka adalah baik untuk menjauhinya. Kepala ikan pun sebenarnya nampak macam kotor dan mengerikan, tapi ramai orang suka makan kari kepala ikan, cuma saya belum pernah dengar kari perut ikan sahaja.
Justeru itu, dalam bab perut dan najis ikan bilis, ia isu yang sangat kecil dan ia adalah harus, siapa nak buang pun tiada masalah, siapa yang termakan atau memang nak makan pun tiada masalah